Corat-coret Mangga Star Search 2009
- Satu-satunya peserta Pulau Pinang, Shahrul Hafiz menukar bidang nyanyian kepada lakonan sehari sebelum pertandingan.
- Stacy tiba agak lewat tetapi tetap mempamerkan persembahan yang memukau.
- Sewaktu majlis berlangsung ada peserta yang sering ke bilik air kerana terlalu gugup.
- Pasangan Rushdan dan Norshafiza terlupa mengambil sekuntum bunga ros yang di letakkan di hadapan pentas.
- Beberapa peserta menjadikan kerusi sebagai prop persembahan.
- Adegan menyebut “Scene kedua” dan “Tiga jam kemudian” menjadi bahan ketawa para hadirin.
- Beberapa peserta wanita berebut untuk melihat persembahan daripada Nubhan.
- Beberapa peserta sempat berlatih di belakang pentas bagi memastikan mereka memberikan yang terbaik.
- Peserta lelaki hanya diberikan air sewaktu dibelakang pentas berbanding peserta wanita yang diberikan bersama makanan.
- Ada juri yang memberikan markah 100% kepada peserta.
- Secara kebetulan Idzham dan Rizu (OIAM3) memakai pakaian yang sama.
- Beberapa peserta lelaki sempat bertinju untuk menghilangkan rasa gementar.
- Tiada ruang untuk bergerak di belakang pentas semasa Bunkface dan the 6ixth Sense menanti untuk melakukan persembahan kerana ruang yang sempit dan padat
- Shahrul Hafiz seringkali menghafal dialog di belakang pentas sehingga dialognya “Roti Canai” dan “Nasi Lemak” menjadi bahan ketawa di belakang pentas.
- Ezam Ernadi risau dengan bentuk tubuh badannya yang kurus sebelum keluar dengan memakai singlet.
- Mikrofon yang digunakan Adam tidak berfungsi dan memaksanya untuk berdiri di sebalik tirai sehingga tamat persembahannya bersama Bad Boys.
- Shahrul Hafiz seringkali juga berbalas SMS semasa di belakang pentas. Dari siapa agaknya?
- Ramai orang tidak tahu Idzham sebenarnya tersalah lirik di permulaan lagu jujur.
- Selepas Ezam membuat persembahan dia memberi semangat kepada rakan-rakan dengan berkata “Lampu spotlight akan hilangkan gementar”. Beberapa peserta lelaki telah bersetuju dengan kata-kata Ezam selepas mereka membuat persembahan.
- Ada peserta wanita yang menangis setelah membuat persembahan.
Apa kata mereka? - Pemenang Mangga Star Search 2009
Walaupun pertandingan Mangga Star Search 2009 telahpun berakhir, namun ia masih bagaikan mimpi bagi juara dan penerima anugerah pada majlis itu. Jom kita dekati mereka.
Arm masih terkejut
Selepas menjuarai pertandingan Mangga Star Search 2009 bagi kategori lelaki, Syamsul Idzham atau lebih mesra dipanggil Arm mengaku sedikit terkejut dengan publisiti yang diberikan majalah Mangga dan Utusan Karya. Kini Arm terpaksa berulang-alik dari Kuala lumpur ke Kuantan untuk memenuhi undangan fotografi kerana Arm masih menjalani latihan praktikal di sana. Pelajar jurusan Radiografi, Universiti Malaya ini dijangka akan menamatkan pelajarannya sekitar Jun nanti. “Arm berasa sangat teruja untuk bergelar seorang artis dan semakin bijak membahagikan masa antara karier nyanyian dan juga pelajaran”. Amat meminati lagu berentak R&B, Arm percaya bakat adalah segala-galanya berbanding populariti. Jika diberi peluang Arm mahu menjadi seperti Taufik Batisyah yang boleh menyanyi dan menari. Jauh disudut hatinya ingin berkerjasama dengan komposer terkenal Ajai dan Audi Mok untuk lagu-lagunya kelak.
Mikrofon hilangkan gementar Shima
Juara Mangga Star Searh 2009 kategori wanita Nor Ashimah Ramly atau lebih gemar dipanggil Shima berasa sangat gembira dan bersyukur kerana menjuarai pertandingan ini. “Seperti rakan-rakan finalis lain shima juga berasa gementar semasa di pentas final apatah lagi dengan keadaan suara dan tekaknya yang tidak begitu mengizinkan. Tetapi sebaik sahaja Shima memegang mikrofon, semua perasaan gementar itu hilang”, ujarnya. Tidak begitu selesa dengan acara berpasangan tetapi berjaya menghadapinya dengan fikiran yang terbuka dan kerana minatnya yang mendalam terhadap dunia hiburan. Amat meminati Datuk Siti Nurhaliza, Aliff Aziz, Avril dan Rihanna serta gemar menyanyikan lagu-lagu yang berentak R&B, Pop Rock malah lagu keroncong juga.
Enash hanya temankan sepupu
Bagi gadis kecik molek berusia 16 tahun, Nur Wani Syafinaz Binti Tarmizi ataupun Enash, penyertaannya dalam Mangga Star Search pada awalnya hanyalah sekadar untuk menemani sepupunya. Namun setelah didesak berkali-kali akhirnya Enash menyahut cabaran dan mendaftar penyertaan. “Tak sangka pula terpilih dan layak sehingga ke peringkat akhir. Bukan itu sahaja, dinobatkan pula Anugerah Fotogenik”, bicaranya lagi. “Pertandingan akhir tu memang sengit. Masing-masing memberikan persembahan terbaik”, tambahnya. Tatkala ditanya mengenai bidang yang diminati, tanpa ragu-ragu Enash menjawab amat meminat bidang peragaan dan lakonan. Disebabkan itu Enash meletakkan nama Nasha Aziz dan Erra Fazira sebagai idolanya.
Sokongan padu untuk Feeya
Nor Shafiza Iskandar atau lebih mesra di panggil Feeya Shafiza ini sangat menggemari lagu berentak balada, catchy serta tarian rancak “fast dance”. Gadis happy go lucky ini bersyukur kerana terpilih ke peringkat final. Pada awalnya di pentas akhir Feeya agak gementar, tetapi disebabkan telah membuat persediaan yang mencukupi ditambah pula dengan sokongan padu daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang turut hadir perasaan gementar itu terus hilang. Mengulas mengenai Anugerah Pasangan Terbaik, Feeya tidak menyangka dapat merangkul anugerah tersebut. Ini kerana pasangan yang lain turut berlatih bersungguh-sungguh apatah lagi semasa pertandingan berlangsung pasangannya Rushdan terlupa mengambil bunga yang diletakkan di hadapan pentas. Mengangkat Datuk Siti Nurhaliza dan Bunga Citra Lestari sebagai idola, Feeya mengharapkan agar masyarakat dapat menerima bakatnya dalam bidang seni dan dapat melangkah lebih jauh dalam dunia industri hiburan tanah air.
Ketty Natalia ingin jadi popular
Pemilik nama Ketty Natalia yang berjaya merangkul Anugerah Peserta Paling Popular tidak menyangka menerima anugerah tersebut. Mempunyai perwatakan yang gila-gila dan mudah mesra dengan orang lain mungkin salah satu faktor juri memilih dirinya. “Secara jujurnya Ketty tidak menyangka dapat masuk ke peringkat ini tapi jauh di sudut hati merasa bangga dan gembira kerana terpilih”, bicara Ketty. Ditanya mengenai artis idola, Ketty amat meminati Ziana Zain, M. Nasir, Ummi Aida dan Rosyam Nor kerana bakat yang dimiliki mereka. Ketty mengharapkan dapat menjadi seperti mereka pada suatu masa nanti.
Final Mangga Star Search 2009 meriah
Pertandingan pencarian bakat baru Mangga Star Search 2009 yang merupakan pertandingan anjuran bersama majalah Mangga dan Cherry Talent and Management telah sampai ke penghujungnya. Bertempat di Saloma Bistro, Jalan Ampang, 18 April yang lalu menyaksikan seramai 12 finalis yang terdiri daripada 6 peserta lelaki dan 6 peserta perempuan berentap untuk merebut gelaran pertama juara Mangga Star Search 2009.
Finalis tersebut adalah Shahrul Hafiz, Muhammad Ezam Ernadi, Mohd. Hafiz, Mohammad Rushdan, Muhammad Syamsul Idzham dan M. Ashmir Nazohan manakala bagi peserta akhir wanita ialah Nor Ashimah, Ketty Natalia, Norshafiza, Norshapila, Nur Wan Syafinaz dan Sharifah Aishah.
Seperti peringkat separuh akhir, setiap peserta diwajibkan untuk menonjolkan bakat dalam 2 bidang yang berbeza. Sebagai contoh jika mereka memilih untuk menyanyi, maka mereka juga haruslah menunjukkan bakat dalam bidang yang lain seperti peragaan, lakonan ataupun pengacaraan. Ini merupakan salah satu cabaran bagi setiap peserta dan membolehkan mereka menjadi penghibur yang serba boleh.
Majlis dimulakan dengan persembahan pembuka tirai oleh juara Akademi Fantasia 6, Stacy diiringi oleh penari-penarinya sendiri. Stacy telah menyampaikan 2 buah lagu iaitu Gagap dan Aku Stacy yang menampilkan aksi lincah sekaligus mewujudkan suasana yang happening.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan kata-kata aluan oleh En. Badrul Azhar Abdul (Ketua Pengarang Majalah Utusan Karya Sdn. Bhd.) sekaligus merasmikan pelancaran wajah baru majalah Mangga bersempena dengan sambutan ulangtahun Mangga yang ke-14. Sebaik sahaja majlis perasmian dilakukan, majlis diteruskan dengan pertandingan akhir Mangga Star Search 2009 yang dikemudi oleh Hafiz Nafiah dan Ezlynn yang bertindak sebagai pengacara majlis.
Persembahan dimulakan oleh Norshapila yang tampil menyanyikan lagu Setelah Aku Kau Miliki (Shima), Ezam Ernadi (Aduh Saliha - Mawi), Mohd Hafiz (Cinta Kristal – Rahim Maarof), Norshafiza (Terlalu Istimewa – Adibah Noor), Aishah (Dengar Ini Cerita – Anita Sarawak), Ketty Natalia (Rindu – Hetty Koes Endang), Rushdan (Maafkan Aku – Azmir Arif), Shima (Matahari – Agnes Monica) dan Syamsul Idzham (Jujur – Radja) manakala bagi Shahrul Hafiz, Nazohan dan Wan Nur Syafinaz menampilkan bakat dalam bidang peragaan dan lakonan.
Pertandingan akhir ini turut diselang-selikan dengan persembahan para artis. Antaranya adalah Aizat, Adam, Nubhan, Jaclynn Victor dan Rio Febian, 6ixth Sense, Bunkface, Wana (MyStarz LG) dan juga beberapa artis lain.
Setiap persembahan finalis diadili oleh empat orang juri professional iaitu Norzeha Kasbi (Editor Mangga), Along Bakar (Penasihat Cherry Talent & Management), penyanyi dan guru vokal Hazami dan juga pengarah filem terkenal Ahmad Idham. Mereka diadili berdasarkan 2 kriteria utama iaitu 50% dari segi bakat dan 50% dari segi personaliti.
Muhammad Syamsul Idzham (Idzham) telah dinobatkan sebagai juara kategori lelaki manakala Nor Ashimah Ramli (Shima) dinobat sebagai juara kategori wanita sekaligus mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM2000, trofi dan beberapa hadiah iringan. Bagi Ketty Natalia Rasul Khan yang cukup mesra dan sporting membawa pulang Anugerah Personaliti Mangga Star Search dan peserta termuda, Wan Nur Syafinaz meraih Anugerah Fotogenik Mangga Star Search. Satu kategori khas iaitu Anugerah Pasangan Terbaik (Best Couple) diungguli oleh pasangan Mohammad Rushdan dan Norshafiza.
Pertandingan akhir ini turut mendapat tajaan daripada beberapa pihak antaranya Red Apple Communications (penaja utama), Jamu Mak Dara, Jakel, Lightmakers, Roscani dan beberapa penaja yang lain.
Kemuncak Mangga Star Search 2009
Empat lokasi ujibakat telah pun di singgah dan kini pertandingan pencarian bakat baru Mangga Star Search 2009 hampir sampai ke acara kemuncaknya. Pertandingan akhir Mangga Star Search bakal berlangsung di Saloma Bistro, Kuala Lumpur pada 18 April ini. Mereka yang layak ke peringkat akhir ialah Shahrul Hafiz, Muhammad Ezam Ernadi, Mohd. Hafiz, Mohammad Rushdan, Muhammad Syamsul Idzham dan M. Ashmir Nazohan manakala bagi peserta akhir wanita ialah Nor Ashimah, Ketty Natalia, Norshafiza, Norshapila, Nur Wan Syafinaz dan Sharifah Aishah.
Apa yang menarik pada pertandingan akhir ini adalah ia bakal dilangsungkan bersama sambutan ulangtahun majalah Mangga yang ke-14. Jadi tentunya ia merupakan sebuah acara yang gilang-gemilang kerana ia turut dihadiri barisan artis dan selebriti tanahair.
Antara artis yang sudah mengesahkan kehadiran mereka adalah seperti Stacy AF6, Nubhan AF6 dan juga Kamal Adly. Jika anda ingin bersama-sama merasai kemeriahan acara ini bolehlah menghubungi pihak Mangga bagi membuat tempahan di talian 03-89262929 atau 03-89268393 sambungan 430 (Aisamurni/Nuek) dan 431 (Fadil). Bayaran masuk dikenakan sebanyak RM35 termasuk makan dan minum. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi talian.
Berakhirnya sesi ujibakat Mangga Star Search 2009
Sesi ujibakat Mangga Star Search 2009 telah pun melabuhkan tirainya. Bertempat di Selayang Mall yang merupakan lokasi terakhir terakhir ujibakat menyaksikan seramai 12 peserta terpilih untuk beraksi di peringkat separuh akhir. Pelbagai ragam dan aksi yang dapat dilihat. Ada di antara peserta yang hadir pernah menjalani ujibakat di Downtown, Cheras. Namun mereka sanggup datang untuk di ujibakat buat kali yang kedua. Satu semangat yang harus dipuji.
Pada sesi ujibakat kali ini turut diserikan dengan persembahan artis-artis. Antaranya adalah Mimi (MyStarz LG), Alif Aziz dan juga Riz yang merupakan naib juara Akademi Fantasia musim keenam. Kami di Cherry Talent & Management mengucapkan tahniah kepada mereka yang layak ke peringkat seterusnya. Jumpa nanti pada 21 Mac ini di Saloma Bistro.
Malam bukan penghalang
Seperti yang sedia maklum program Mangga Star Search 2009 merupakan satu-satunya program pencarian bakat baru yang bukan hanya tertumpu pada bidang nyanyian malah skopnya diluaskan kepada bidang lakonan, pengacaraan dan juga peragaan. Jadi para peserta diberi kebebasan untuk menonjolkan apa sahaja bakat yang terpendam tanpa ada batasan.
Penukaran lokasi ujibakat di Kuala Lumpur pada saat-saat akhir bukanlah penghalang kepada peserta-peserta untuk hadir merasai sendiri pengalaman ujibakat Mangga Star Search 2009. Sesi ujibakat yang dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 malam dimulakan agak lewat disebabkan faktor cuaca dan juga beberapa masalah teknikal yang berlaku. Namun ia tidak mematahkan semangat para peserta untuk menunggu malah ada yang telah hadir seawal jam 7.00 malam.
Pada permulaan sesi ujibakat kali ini diserikan dengan kehadiran pelakon Julia Ziegler yang sempat mempromosikan filem terbarunya, Jangan Tegur. Bukan itu sahaja, sesi ujibakat juga turut diselitkan dengan persembahan artis jemputan. Antara artis yang turut sama menjayakan sesi ujibakat pada kali ini adalah Aizat Amdan, Kumpulan Kristal, vokalis Butterfly, Zila Seeron, Along (Charm), Hafiz Hanafiah, Flava, Juril (vokalis Duta) dan juga bakat baru Azmir Arif. Selain itu juga hadirin dihiburkan dengan persembahan tarian daripada kumpulan Giler Battle yang merupakan artis naungan Red Apple dan juga persembahan daripada juara pertandingan Karaoke Downtown KL 2007, Shahila.
Di akhir sesi ujibakat diumumkan senarai 12 peserta yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 21 Mac ini.
Kepada yang terlepas peluang untuk menghadiri sesi ujibakat Mangga Star Search 2009, temui kami di lokasi ujibakat terakhir yang akan diadakan di kompleks membeli-belah Selayang Mall pada 1 Mac ini.
10 Peserta Mara ke Separuh Akhir

Peserta-peserta mewakili Johor Bharu ke separuh akhir.
Berakhir sudah pencarian Mangga Star Search di lokasi pertama ujibakat di Plaza Angsana, Johor Bharu. Seramai 10 orang peserta telah terpilih untuk mara ke peringkat separuh akhir yang bakal diadakan pada 21 Mac ini. Satu-satunya peserta dari Singapura juga layak menempatkan dirinya ke peringkat separuh akhir.
Jika anda ingin menjadi seperti mereka, jom sertai ujibakat kami di Pulau Pinang pada 14 Februari dan Kuala Lumpur pada 21 Februari ini.
Ujibakat di Johor diserikan dengan persembahan artis

Naufara beramah mesra bersama peminat yang hadir.
Bertempat di Plaza Angsana, Johor Bharu pada 7 Februari yang lalu bermulalah langkah perjalanan dalam pencarian Mangga Star Search 2009 dibawah anjuran majalah hiburan , Mangga. Satu-satunya program pencarian bakat yang menampilkan pendekatan berbeza dimana peserta diberi kebebasan menonjolkan bakat yang mereka ada tidak kiralah dalam bidang nyanyian, lakonan, pengacaraan mahupun peragaan. Sesi ujibakat yang diadakan ini memperlihatkan ramai bakat yang terpendam.
Sesi ujibakat ini diadili pihak Mangga sendiri, Red Apple Communication Sdn. Bhd. dan juga pihak Cherry Talent & Management. Pemilihan dibuat berdasarkan pecahan pemarkahan iaitu 50 peratus dari aspek personaliti juga penampilan dan selebihnya melihat kepada bakat yang ditonjolkan para peserta.
Turut tidak melepaskan peluang ini, salah seorang peserta program realiti kanak-kanak anjuran tv9, Idola Kecil iaitu Tasya yang juga menyertai sesi ujibakat bersama kakaknya.
Sesi ujibakat turut diserikan dengan persembahan artis seperti Dafi AF5, Nadia AF6 dan juga penyanyi yang berasal dari Sabah, Naufara Yasin.
Dengan ini kami berharap agar dapat menarik lebih banyak penyertaan di lokasi-lokasi akan datang. Kepada yang berminat, jangan lupa temui kami di Queensbay Mall, Pulau Pinang.







