Final Mangga Star Search 2009 meriah

April 27, 2009 by admin  
Filed under News

Finalis Mangga Star Search 2009 bergambar kenangan

Finalis Mangga Star Search 2009 bergambar kenangan

Pertandingan pencarian bakat baru Mangga Star Search 2009 yang merupakan pertandingan anjuran bersama majalah Mangga dan Cherry Talent and Management telah sampai ke penghujungnya. Bertempat di Saloma Bistro, Jalan Ampang, 18 April yang lalu menyaksikan seramai 12 finalis yang terdiri daripada 6 peserta lelaki dan 6 peserta perempuan berentap untuk merebut gelaran pertama juara Mangga Star Search 2009.

Finalis tersebut adalah Shahrul Hafiz, Muhammad Ezam Ernadi, Mohd. Hafiz, Mohammad Rushdan, Muhammad Syamsul Idzham dan M. Ashmir Nazohan manakala bagi peserta akhir wanita ialah Nor Ashimah, Ketty Natalia, Norshafiza, Norshapila, Nur Wan Syafinaz dan Sharifah Aishah.

Seperti peringkat separuh akhir, setiap peserta diwajibkan untuk menonjolkan bakat dalam 2 bidang yang berbeza. Sebagai contoh jika mereka memilih untuk menyanyi, maka mereka juga haruslah menunjukkan bakat dalam bidang yang lain seperti peragaan, lakonan ataupun pengacaraan. Ini merupakan salah satu cabaran bagi setiap peserta dan membolehkan mereka menjadi penghibur yang serba boleh.

Persembahan pembuka tirai yang bertenaga daripada Stacy

Persembahan pembuka tirai yang bertenaga daripada Stacy

Majlis dimulakan dengan persembahan pembuka tirai oleh juara Akademi Fantasia 6, Stacy diiringi oleh penari-penarinya sendiri. Stacy telah menyampaikan 2 buah lagu iaitu Gagap dan Aku Stacy yang menampilkan aksi lincah sekaligus mewujudkan suasana yang happening.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan kata-kata aluan oleh En. Badrul Azhar Abdul (Ketua Pengarang Majalah Utusan Karya Sdn. Bhd.) sekaligus merasmikan pelancaran wajah baru majalah Mangga  bersempena dengan sambutan ulangtahun Mangga yang ke-14. Sebaik sahaja majlis perasmian dilakukan, majlis diteruskan dengan pertandingan akhir Mangga Star Search 2009 yang dikemudi oleh Hafiz Nafiah dan Ezlynn yang bertindak sebagai pengacara majlis.

Persembahan dimulakan oleh Norshapila yang tampil menyanyikan lagu Setelah Aku Kau Miliki (Shima), Ezam Ernadi (Aduh Saliha - Mawi), Mohd Hafiz (Cinta Kristal – Rahim Maarof), Norshafiza (Terlalu Istimewa – Adibah Noor), Aishah (Dengar Ini Cerita – Anita Sarawak), Ketty Natalia (Rindu – Hetty Koes Endang), Rushdan (Maafkan Aku – Azmir Arif), Shima (Matahari – Agnes Monica) dan Syamsul Idzham (Jujur – Radja) manakala bagi Shahrul Hafiz, Nazohan dan Wan Nur Syafinaz menampilkan bakat dalam bidang peragaan dan lakonan.

Acara pemotongan kek sempena sambutan ulangtahun Mangga yang ke-14

Acara pemotongan kek sempena sambutan ulangtahun Mangga yang ke-14

Pertandingan akhir ini turut diselang-selikan dengan persembahan para artis. Antaranya adalah Aizat, Adam, Nubhan, Jaclynn Victor dan Rio Febian, 6ixth Sense, Bunkface, Wana (MyStarz LG) dan juga beberapa artis lain.

Setiap persembahan finalis diadili oleh empat orang juri professional iaitu Norzeha Kasbi (Editor Mangga), Along Bakar (Penasihat Cherry Talent & Management), penyanyi dan guru vokal Hazami dan juga pengarah filem terkenal Ahmad Idham. Mereka diadili berdasarkan 2 kriteria utama iaitu 50% dari segi bakat dan 50% dari segi personaliti.

Muhammad Syamsul Idzham (Idzham) telah dinobatkan sebagai juara kategori lelaki manakala Nor Ashimah Ramli (Shima) dinobat sebagai juara kategori wanita sekaligus mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM2000, trofi dan beberapa hadiah iringan. Bagi Ketty Natalia Rasul Khan yang cukup mesra dan sporting membawa pulang Anugerah Personaliti Mangga Star Search dan peserta termuda, Wan Nur Syafinaz meraih Anugerah Fotogenik Mangga Star Search. Satu kategori khas iaitu Anugerah Pasangan Terbaik (Best Couple) diungguli oleh pasangan Mohammad Rushdan dan Norshafiza.

Pertandingan akhir ini turut mendapat tajaan daripada beberapa pihak antaranya Red Apple Communications (penaja utama), Jamu Mak Dara, Jakel, Lightmakers, Roscani dan beberapa penaja yang lain.

Other pictures ...

Ujibakat di Johor diserikan dengan persembahan artis

February 9, 2009 by admin  
Filed under News

Naufara memberikan majalah Mangga kepada peminat

Naufara beramah mesra bersama peminat yang hadir.

Bertempat di Plaza Angsana, Johor Bharu pada 7 Februari yang lalu bermulalah langkah perjalanan dalam pencarian Mangga Star Search 2009 dibawah anjuran majalah hiburan , Mangga. Satu-satunya program pencarian bakat yang menampilkan pendekatan berbeza dimana peserta diberi kebebasan menonjolkan bakat yang mereka ada tidak kiralah dalam bidang nyanyian, lakonan, pengacaraan mahupun peragaan. Sesi ujibakat yang diadakan ini memperlihatkan ramai bakat yang terpendam.

Sesi ujibakat ini diadili pihak Mangga sendiri, Red Apple Communication Sdn. Bhd. dan juga pihak Cherry Talent & Management. Pemilihan dibuat berdasarkan pecahan pemarkahan iaitu 50 peratus dari aspek personaliti juga penampilan dan selebihnya melihat kepada bakat yang ditonjolkan para peserta.

Turut tidak melepaskan peluang ini, salah seorang peserta program realiti kanak-kanak anjuran tv9, Idola Kecil iaitu Tasya yang juga menyertai sesi ujibakat bersama kakaknya.

Sesi ujibakat turut diserikan dengan persembahan artis seperti Dafi AF5, Nadia AF6 dan juga penyanyi yang berasal dari Sabah, Naufara Yasin.

Dengan ini kami berharap agar dapat menarik lebih banyak penyertaan di lokasi-lokasi akan datang. Kepada yang berminat, jangan lupa temui kami di Queensbay Mall, Pulau Pinang.

Other Pictures ...