Apa kata mereka? - Pemenang Mangga Star Search 2009
Walaupun pertandingan Mangga Star Search 2009 telahpun berakhir, namun ia masih bagaikan mimpi bagi juara dan penerima anugerah pada majlis itu. Jom kita dekati mereka.
Arm masih terkejut
Selepas menjuarai pertandingan Mangga Star Search 2009 bagi kategori lelaki, Syamsul Idzham atau lebih mesra dipanggil Arm mengaku sedikit terkejut dengan publisiti yang diberikan majalah Mangga dan Utusan Karya. Kini Arm terpaksa berulang-alik dari Kuala lumpur ke Kuantan untuk memenuhi undangan fotografi kerana Arm masih menjalani latihan praktikal di sana. Pelajar jurusan Radiografi, Universiti Malaya ini dijangka akan menamatkan pelajarannya sekitar Jun nanti. “Arm berasa sangat teruja untuk bergelar seorang artis dan semakin bijak membahagikan masa antara karier nyanyian dan juga pelajaran”. Amat meminati lagu berentak R&B, Arm percaya bakat adalah segala-galanya berbanding populariti. Jika diberi peluang Arm mahu menjadi seperti Taufik Batisyah yang boleh menyanyi dan menari. Jauh disudut hatinya ingin berkerjasama dengan komposer terkenal Ajai dan Audi Mok untuk lagu-lagunya kelak.
Mikrofon hilangkan gementar Shima
Juara Mangga Star Searh 2009 kategori wanita Nor Ashimah Ramly atau lebih gemar dipanggil Shima berasa sangat gembira dan bersyukur kerana menjuarai pertandingan ini. “Seperti rakan-rakan finalis lain shima juga berasa gementar semasa di pentas final apatah lagi dengan keadaan suara dan tekaknya yang tidak begitu mengizinkan. Tetapi sebaik sahaja Shima memegang mikrofon, semua perasaan gementar itu hilang”, ujarnya. Tidak begitu selesa dengan acara berpasangan tetapi berjaya menghadapinya dengan fikiran yang terbuka dan kerana minatnya yang mendalam terhadap dunia hiburan. Amat meminati Datuk Siti Nurhaliza, Aliff Aziz, Avril dan Rihanna serta gemar menyanyikan lagu-lagu yang berentak R&B, Pop Rock malah lagu keroncong juga.
Enash hanya temankan sepupu
Bagi gadis kecik molek berusia 16 tahun, Nur Wani Syafinaz Binti Tarmizi ataupun Enash, penyertaannya dalam Mangga Star Search pada awalnya hanyalah sekadar untuk menemani sepupunya. Namun setelah didesak berkali-kali akhirnya Enash menyahut cabaran dan mendaftar penyertaan. “Tak sangka pula terpilih dan layak sehingga ke peringkat akhir. Bukan itu sahaja, dinobatkan pula Anugerah Fotogenik”, bicaranya lagi. “Pertandingan akhir tu memang sengit. Masing-masing memberikan persembahan terbaik”, tambahnya. Tatkala ditanya mengenai bidang yang diminati, tanpa ragu-ragu Enash menjawab amat meminat bidang peragaan dan lakonan. Disebabkan itu Enash meletakkan nama Nasha Aziz dan Erra Fazira sebagai idolanya.
Sokongan padu untuk Feeya
Nor Shafiza Iskandar atau lebih mesra di panggil Feeya Shafiza ini sangat menggemari lagu berentak balada, catchy serta tarian rancak “fast dance”. Gadis happy go lucky ini bersyukur kerana terpilih ke peringkat final. Pada awalnya di pentas akhir Feeya agak gementar, tetapi disebabkan telah membuat persediaan yang mencukupi ditambah pula dengan sokongan padu daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang turut hadir perasaan gementar itu terus hilang. Mengulas mengenai Anugerah Pasangan Terbaik, Feeya tidak menyangka dapat merangkul anugerah tersebut. Ini kerana pasangan yang lain turut berlatih bersungguh-sungguh apatah lagi semasa pertandingan berlangsung pasangannya Rushdan terlupa mengambil bunga yang diletakkan di hadapan pentas. Mengangkat Datuk Siti Nurhaliza dan Bunga Citra Lestari sebagai idola, Feeya mengharapkan agar masyarakat dapat menerima bakatnya dalam bidang seni dan dapat melangkah lebih jauh dalam dunia industri hiburan tanah air.
Ketty Natalia ingin jadi popular
Pemilik nama Ketty Natalia yang berjaya merangkul Anugerah Peserta Paling Popular tidak menyangka menerima anugerah tersebut. Mempunyai perwatakan yang gila-gila dan mudah mesra dengan orang lain mungkin salah satu faktor juri memilih dirinya. “Secara jujurnya Ketty tidak menyangka dapat masuk ke peringkat ini tapi jauh di sudut hati merasa bangga dan gembira kerana terpilih”, bicara Ketty. Ditanya mengenai artis idola, Ketty amat meminati Ziana Zain, M. Nasir, Ummi Aida dan Rosyam Nor kerana bakat yang dimiliki mereka. Ketty mengharapkan dapat menjadi seperti mereka pada suatu masa nanti.

