Final Mangga Star Search 2009 meriah
Pertandingan pencarian bakat baru Mangga Star Search 2009 yang merupakan pertandingan anjuran bersama majalah Mangga dan Cherry Talent and Management telah sampai ke penghujungnya. Bertempat di Saloma Bistro, Jalan Ampang, 18 April yang lalu menyaksikan seramai 12 finalis yang terdiri daripada 6 peserta lelaki dan 6 peserta perempuan berentap untuk merebut gelaran pertama juara Mangga Star Search 2009.
Finalis tersebut adalah Shahrul Hafiz, Muhammad Ezam Ernadi, Mohd. Hafiz, Mohammad Rushdan, Muhammad Syamsul Idzham dan M. Ashmir Nazohan manakala bagi peserta akhir wanita ialah Nor Ashimah, Ketty Natalia, Norshafiza, Norshapila, Nur Wan Syafinaz dan Sharifah Aishah.
Seperti peringkat separuh akhir, setiap peserta diwajibkan untuk menonjolkan bakat dalam 2 bidang yang berbeza. Sebagai contoh jika mereka memilih untuk menyanyi, maka mereka juga haruslah menunjukkan bakat dalam bidang yang lain seperti peragaan, lakonan ataupun pengacaraan. Ini merupakan salah satu cabaran bagi setiap peserta dan membolehkan mereka menjadi penghibur yang serba boleh.
Majlis dimulakan dengan persembahan pembuka tirai oleh juara Akademi Fantasia 6, Stacy diiringi oleh penari-penarinya sendiri. Stacy telah menyampaikan 2 buah lagu iaitu Gagap dan Aku Stacy yang menampilkan aksi lincah sekaligus mewujudkan suasana yang happening.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan kata-kata aluan oleh En. Badrul Azhar Abdul (Ketua Pengarang Majalah Utusan Karya Sdn. Bhd.) sekaligus merasmikan pelancaran wajah baru majalah Mangga bersempena dengan sambutan ulangtahun Mangga yang ke-14. Sebaik sahaja majlis perasmian dilakukan, majlis diteruskan dengan pertandingan akhir Mangga Star Search 2009 yang dikemudi oleh Hafiz Nafiah dan Ezlynn yang bertindak sebagai pengacara majlis.
Persembahan dimulakan oleh Norshapila yang tampil menyanyikan lagu Setelah Aku Kau Miliki (Shima), Ezam Ernadi (Aduh Saliha - Mawi), Mohd Hafiz (Cinta Kristal – Rahim Maarof), Norshafiza (Terlalu Istimewa – Adibah Noor), Aishah (Dengar Ini Cerita – Anita Sarawak), Ketty Natalia (Rindu – Hetty Koes Endang), Rushdan (Maafkan Aku – Azmir Arif), Shima (Matahari – Agnes Monica) dan Syamsul Idzham (Jujur – Radja) manakala bagi Shahrul Hafiz, Nazohan dan Wan Nur Syafinaz menampilkan bakat dalam bidang peragaan dan lakonan.
Pertandingan akhir ini turut diselang-selikan dengan persembahan para artis. Antaranya adalah Aizat, Adam, Nubhan, Jaclynn Victor dan Rio Febian, 6ixth Sense, Bunkface, Wana (MyStarz LG) dan juga beberapa artis lain.
Setiap persembahan finalis diadili oleh empat orang juri professional iaitu Norzeha Kasbi (Editor Mangga), Along Bakar (Penasihat Cherry Talent & Management), penyanyi dan guru vokal Hazami dan juga pengarah filem terkenal Ahmad Idham. Mereka diadili berdasarkan 2 kriteria utama iaitu 50% dari segi bakat dan 50% dari segi personaliti.
Muhammad Syamsul Idzham (Idzham) telah dinobatkan sebagai juara kategori lelaki manakala Nor Ashimah Ramli (Shima) dinobat sebagai juara kategori wanita sekaligus mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM2000, trofi dan beberapa hadiah iringan. Bagi Ketty Natalia Rasul Khan yang cukup mesra dan sporting membawa pulang Anugerah Personaliti Mangga Star Search dan peserta termuda, Wan Nur Syafinaz meraih Anugerah Fotogenik Mangga Star Search. Satu kategori khas iaitu Anugerah Pasangan Terbaik (Best Couple) diungguli oleh pasangan Mohammad Rushdan dan Norshafiza.
Pertandingan akhir ini turut mendapat tajaan daripada beberapa pihak antaranya Red Apple Communications (penaja utama), Jamu Mak Dara, Jakel, Lightmakers, Roscani dan beberapa penaja yang lain.
Kemuncak Mangga Star Search 2009
Empat lokasi ujibakat telah pun di singgah dan kini pertandingan pencarian bakat baru Mangga Star Search 2009 hampir sampai ke acara kemuncaknya. Pertandingan akhir Mangga Star Search bakal berlangsung di Saloma Bistro, Kuala Lumpur pada 18 April ini. Mereka yang layak ke peringkat akhir ialah Shahrul Hafiz, Muhammad Ezam Ernadi, Mohd. Hafiz, Mohammad Rushdan, Muhammad Syamsul Idzham dan M. Ashmir Nazohan manakala bagi peserta akhir wanita ialah Nor Ashimah, Ketty Natalia, Norshafiza, Norshapila, Nur Wan Syafinaz dan Sharifah Aishah.
Apa yang menarik pada pertandingan akhir ini adalah ia bakal dilangsungkan bersama sambutan ulangtahun majalah Mangga yang ke-14. Jadi tentunya ia merupakan sebuah acara yang gilang-gemilang kerana ia turut dihadiri barisan artis dan selebriti tanahair.
Antara artis yang sudah mengesahkan kehadiran mereka adalah seperti Stacy AF6, Nubhan AF6 dan juga Kamal Adly. Jika anda ingin bersama-sama merasai kemeriahan acara ini bolehlah menghubungi pihak Mangga bagi membuat tempahan di talian 03-89262929 atau 03-89268393 sambungan 430 (Aisamurni/Nuek) dan 431 (Fadil). Bayaran masuk dikenakan sebanyak RM35 termasuk makan dan minum. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi talian.
Jumpa di Saloma Bistro
Kehangatan pencarian bakat baru dalam Mangga Star Search 2009 anjuran bersama majalah Mangga makin kian terasa. Sebanyak 4 lokasi telah pun kami singgah untuk mencari mereka yang berbakat. Kini debaran semakin tiba ke peringkat separuh akhir. Seramai 46 peserta bakal berentap untuk menempatkan diri ke peringkat akhir.
Pusingan separuh akhir yang bakat diadakan pada 21 Mac ini di Saloma Bistro akan dijalankan sedikit berbeza berbanding pada sesi ujibakat. Para peserta akan diberi tugas wajib. Jika mereka yang ingin menyanyi, mereka dikehendaki menyanyi dengan menggunakan minus one yang telah ditentukan pihak penganjur.
Bagi peserta lelaki, lagu-lagu wajib adalah Cinta Terhalang (Bob AF2), Farhana (Jinbara), Hanya Kau Yang Mampu (Aizat AF5), Kau Lupa Pada Janji (Jamal Abdillah) dan Melompat Lebih Tinggi (Sheila On 7).
Bagi peserta wanita pula, lagu-lagu wajib adalah Aku Stacy (Stacy AF6), Tak Tercapai Akalmu (Elyana), Melukut di Tepi Gantang (Aishah), Makhluk Tuhan Paling Seksi (Mulan Jameela) dan Elergi Sepi (Azharina).
Bukan itu sahaja, setiap peserta dikehendaki untuk menunjukkan bakat tambahan selain daripada bidang yang dipilih. Sebagai contoh jika mereka berbakat dalam bidang nyanyian, mereka haruslah menonjolkan bakat dalam bidang lain seperti pengacaraan, lakonan mahupun peragaan. Begitulah sebaliknya jika mereka memilih untuk berlakon, maka mereka harus menunjukkan bakat yang lain. Watak lakonan akan diberikan semasa pendaftaran.
Para peserta diingatkan untuk hadir awal untuk pendaftaran pada jam 1.00 tengah hari dan juga pemilihan lagu. Pertandingan dijadual akan bermula pada jam 1.30 tengah hari. Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi kami di talian 012-3797550 (Ruhil). Jumpa anda disana!!!





